Dr Mahathir menjadi Naib Presiden
UMNO pada tahun 1975 selepas beliau dipulihkan oleh Tun Razak keahlian dalam
UMNO, kalau tidak silap saya pada tahun 1972 atau tahun 1973 selepas dipecat
dari UMNO pada tahun 1969. Ada pihak-pihak dalam UMNO itu sendiri menyokong
kemasukan Dr Mahathir kembali di dalam UMNO tetapi apabila beliau mengemukakan
borang untuk menyertai UMNO kembali, beliau memilih untuk menyertainya di
Rawang kerana di Kedah tidak begitu ramai yang berminat untuk membawa beliau
kedalam UMNO.
Semasa itu di Rawang, Tunku
Abdullah ibni Tuanku Abdul Rahman adalah Ahli Parlimen bagi kawasan itu, dan
merupakan sahabat Dr Mahathir yang rapat. Maka mudah bagi beliau untuk
mendapatkan sokongan untuk kembali kedalam UMNO. Itu sebabnya Dr Mahathir
kembali ke dalam UMNO melalui UMNO Rawang dan hanya kembali ke Kedah selepas
beliau telah kembali pulih kedudukan beliau di dalam UMNO.
Dr Mahathir menjadi Naib Presiden
bersama Tengku Razaleigh yang telah menduduki kerusi ketiga tertinggi di dalam
parti itu dua tahun sebelumnya. Seorang lagi tentulah Ghaffar Baba yang telah
menjadi Naib Presiden sejak awal tahun enam puluhan lagi. Dr Mahathir mendapat
kedudukan yang ketiga dikalangan ketiga-tiga Naib Presiden itu.
Semasa itu Abdullah Badawi belum
lagi berada dimana-mana di dalam UMNO kerana beliau masih menjadi Ketua
Pengarah Belia dan selepas itu menjadi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian
Belia dan Sukan. Abdullah hanya keluar dari perkhidmatan kerajaan untuk
menyertai Pilihanraya 1978 dahulu untuk menggantikan Nordin Sophie bagi kawasan
Kepala Batas.
Musa Hitam hanya menjadi Naib
Presiden pada tahun 1978. Anwar Ibrahim semasa itu masih tidak terfikir
oleh sesiapa dalam UMNO, hanya beliau diingat sebagai bekas pemimpin pelajar
dan seorang yang begitu rapat dengan PAS kerana kedudukan beliau sebagai
Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM) semasa itu.
Anwar hanya menyertai UMNO pada
Februari 1982 sahaja dan belum pun kering tanda-tangan keahliannya dalam UMNO
beliau telah menumbangkan Haji Suhaimi Kamarudin sebagai Ketua Pemuda UMNO
Malaysia, dengan sokongan Dr Mahathir Mohammed.
Seperti yang saya selalu sebutkan
semasa Dr Mahathir mendekati kerusi Perdana Menteri, iaitu semasa beliau
dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak mempunyai ‘grassroot’
yang kukuh. Seperti biasa orang yang paling di khuatiri berada di sisinya ialah
Tengku Razaleigh Hamzah. Malahan Mahathir begitu tidak seronok melihat Tengku
Razaleigh seolah-olah seorang defacto ‘Prime Minister’ kerana Perdana Menteri
Tun Razak dan Hussein telah memberikan tanggungjawab yang besar kepada TR.
Saat untuk menyekat kemaraan TR
tiba apabila beliau mengambil alih jawatan Presiden UMNO pada tahun 1981 diperhimpunan
yang sama berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden diantara Musa dengan
Tengku Razaleigh. Musa yang dalam diam-diam juga berminat untuk menaiki takhta
kuasa, diambil kesempatan oleh Mahathir dan melagakan Musa dengan Tengku
Razaleigh sehingga berlaku pertandingan sengit diantara kedua-dua Naib Presiden
UMNO itu untuk jawatan Timbalan Presiden.
Mahathir berada dibelakang TR
semata-mata untuk menyekat TR menaiki kuasa. Sesungguhnya Mahathir juga waktu
yang sama yang Musa juga mempunyai minat yang kuat untuk menjadi Perdana
Menteri. Maka Mahathir menjadikan TR dengan Musa mempunyai kekuatan seimbang
bagi mengelakkan tentangan dari salah saorang dari kepimpinan yang dibentuk
untuk negara oleh Tunku dan Tun Razak.
Apabila Musa sedar apa yang ada
di dalam benak Mahathir itu dan datang pula berbagai-bagai cabaran untuk
menyekat kemaraan Musa, maka Musa meninggalkan jawatan Timbalan Perdana Menteri
pada awal tahun 1986. Perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu telah
menjadikan UMNO kelam kabut dan rombong selepas rombongan terdiri dari
Menteri-Menteri serta Timbalan-Timbalan Menteri serta Menteri Besar telah
berduyun ke London untuk memujuk Musa menarik balik keputusannya untuk meletakkan
jawatan itu.
Tunku Abdul Rahman telah bersuara
dalam persaraannya dan menyatakan persaraan Musa Hitam itu sepatutnya di iringi
oleh satu Perwakilan Khas UMNO untuk berbincang dan membuat ketetapan. Di sini
Mahathir tahu jika Perhimpunan Agung Khas itu dipanggil maka Musa akan mendapat
‘endorsement’ yang kuat dan tidak terkejut jika Musa kembali dan membuatkan
dirinya menjadi kuat selepas perhimpunan Agung Khas itu.
Mahathir tidak peduli dan terus
memberi kenyataan yang perletakkan jawatan Musa itu diterima dan menutup isu
Perhimpunan Agung Khas itu samasekali. Memanggil Perhimpunan Agung Khas UMNO
akan membuatkan Musa kuat dan dengan senang sahaja Musa boleh mengambil alih
kepimpinan negara dari Mahathir.
Saya dan beberapa orang pemimpin
UMNO dibawah-bawah ini berkesempatan bertanya Musa kenapa beliau meletakkan
jawatan, Musa menjawab, ‘Mahathir has a freezer in him. Hatinya kering dan tidak
boleh bersamanya lagi’.
Dalam pada itu UMNO sudah ada
Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pemuda dan ini semua memudahkan Musa menjawab apa
yang akan berlaku kepada beliau. Anwar seorang muda yang begitu ‘ambitious’
akan berperanan untuk mengubah scenario politik negara dan akan bermula
‘politiking’ yang hebat dalam UMNO. Setiap pemimpin yang berwibawa yang
pengimbangnya yang disediakan oleh Dr Mahathir dan beliau tahu dengan cara ini
sahaja beliau mampu untuk berkuasa selama mana yang beliau idamkan.
Selepas Musa, Ghaffar Baba yang
tiga bulan lebih tua dari Mahathir, menggantikan Musa dan di zaman Ghaffar
menjadi Timbalannya, Mahathir tidak segelabah dahulu kerana beliau tahu Ghaffar
mempunyai banyak kekurangan untuk mengatasi beliau (Mahathir). Entah dimana datangnya
cerita pada suatu ketika selepas Ghaffar mengambil alih Musa Hitam itu, Ghaffar
percaya yang Mahathir akan bersara dan memberikan jawatan Perdana Menteri buat
pertama kalinya dari seorang guru biasa sekolah.
Orang seperti saya amat susah
mempercayai cerita itu dan selepas itu nyata Ghaffar juga menjadi mangsa permainan
politik kotor UMNO dan kali ini Anwar pula yang menolak Ghaffar keluar dan
tentunya dengan perkenan Dr Mahathir sendiri.
Ghaffar bersara dan mengambil
keputusan untuk bercuti dan amat sedih melihat Ghaffar keluar negara dengan
menjinjing beg plastik mengandungi buku-buku untuk dibaca dalam penerbangan jauh
entah kemana itu.
Maka terjunlah seorang lagi
Timbalan kepada Dr Mahathir maka Mahathir memilih pula Timbalan yang baru.
Namanya ialah orang yang paling ‘famous’ pada hari ini bernama Anwar Ibrahim.
Anwar ini ‘famous’ sungguh. ‘Famous’ dalam segala-galanya.
Abdullah yang selepas Anwar tidak
sempat diterjunkan kerana waktu untuk Dr Mahathir bersara sampai tatkala
Abdullah dan Mahathir belum sempat bergaduh. Mereka bergaduh hanya setelah
Abdullah menjadi Perdana Menteri.
Abdullah lebih bernasib baik dari
tiga Timbalan Perdana Menteri sebelum beliau.
(Bersambung)
The awakening': Dr Mahathir tidak benarkan sesiapa berfikir (Tamat)
Berbeza dengan Abdullah, Anwar
tidak disukai Mahathir setelah menjadi Timbalannya kerana pengaruh Anwar yang
bertambah besar dalam UMNO. Anwar begitu kuat pengaruhnya kerana kemahiran
beliau bermain politik dan bukannya kerana beliau pemimpin yang ber ‘consequence’
dalam pembangunan negara.
Anwar menampakkan ‘obsessions’ beliau untuk menjadi
Perdana Menteri secepat yang mungkin dan dalam proses menaiki tangga kuasa
dalam parti banyak juga pemimpin yang menjadi korban beliau. Anwar tidak
belajar dari pengalaman Musa, Timbalan Perdana Menteri pertama dibawah Dr
Mahathir.
Anwar telah mengorbankan Ghaffar
Baba dengan kuasa kewangan yang ada ditangan beliau. Kehadiran Anwar banyak
menyumbang kepada perpecahan dan tidak puas hati dalam UMNO kerana beliau
dipersepsikan sebagai seorang yang mahu melangkahi ramai pemimpin yang ‘senior’
dalam UMNO, termasuk diawalnya Musa Hitam, Haji Suhaimi serta ramai yang lain
seolah-olah beliau dianggap sebagai seorang pemimpin yang turun dari langit
ketujuh.
Semasa dalam kuasa, Anwar terlalu
jelas meletakkan orang-orangnya di semua tempat dan kedudukan penting dalam
kerajaan dan parti dan segala tindakan beliau itu jelas mencetuskan perasaan
tidak puas hati terhadap beliau. Malahan tindakan membina 'kronism' yang di
lemparkan kepada Dr Mahathir sebenarnya berlaku berluas-luasa di dalam kem
Anwar. Di pusat-pusat pengajian tinggi, di dalam sektor korporat dan
berbagai-bagai agensi kerajaan dipenuhi oleh ‘orang-orang’ Anwar malahan
sampaikan ‘journalist-journalist’ pun
meninggalkan ‘profession’ mereka dan menjadi ahli korporat.
Hampir semua Menteri Besar adalah
penyokong Anwar dan tidak hairan ia menjadikan Dr Mahathir begitu gelisah
dengan tindakan Anwar yang agak ‘over’ dalam politik Melayu dan dianggap oleh
banyak pihak diluar sebagai terlalu jauh keluar dari budaya politik yang sedia
ada selama ini. Anwar terlalu jelas ‘overly ambitious’ dan tidak dapat disorokkan
dan di samping itu mengampu secara tidak ‘natural’ terhadap Dr Mahathir.
Mahathir telah mula hilang keyakinan terhadap Anwar apabila pada pemilihan 1996
sudah ada suara meminta Anwar melawan Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO.
Ramai dikalangan ‘foot soldiers’
Dr Mahathir bercakap dimana-mana yang Anwar tidak akan menjadi PM kerana lagak
yang ditunjukkan itu amat merbahaya bagi politik negara. Maka bermulalah usaha
untuk menjatuhkan Anwar dengan menggunakan kenakalan Anwar sebagai isu untuk
menjatuhkannya.
Maka berlakulah apa yang telah
kita semua lihat telah terjadi. Abdullah Badawi yang selama ini bermain-main
dalam diam untuk mempengaruhi usaha untuk menjatuhkan Anwar mendapat tempat
sebagai pengganti timbalan kepada Dr Mahathir yang keempat kalinya. Dalam pada
itu Dr Mahathir sudah nampak desakan untuk meletakkan jawatan dan berundur maka
Abdullah lah yang bernasib baik yang akhirnya menjadi Perdana Menteri
manggantikan Dr Mahathir.
Kebetulan Abdullah pandai
mengambil hati Dr Mahathir dan hanya mengangguk sahaja dengan apa yang diarahkan
dan perlakuan Dr Mahathir. Mahathir tidak ada halangan maka Abdullah menjadi
penggantinya. Beliau mempunyai imej sebagai orang baik tetapi tidak ada pula
yang menganggap Abdullah sebagai pemimpin yang baik. Sesungguhnya orang baik
sahaja tidak boleh memimpin diperingkat tertinggi kerana yang boleh memimpin
peringkat tertinggi hanya pemimpin yang baik, bukannya orang yang baik.
Mahathir boleh bekerjasama dengan
beliau kerana Abdullah ini hanya mengangguk semata-mata untuk mempastikan
beliau tidak menerima nasib seperti tiga orang Timbalan Perdana Menteri
sebelumnya. Abdullah tahu melalui pengalaman yang dialami oleh Musa, Ghaffar
dan Anwar yang Mahathir jangan sekali-kali di sanggah pemikiran dan kemahuan
beliau.
Dalam UMNO dari zaman itu, hanya
Dr Mahathir sahaja yang layak dan sepatutnya berfikir. Yang lain hanya ditugas
mengangguk dan bertepuk tangan sahaja dalam Perhimpunan Agung. Abdullah tahu
bagaimana hendak kendalikan Dr Mahathir semasa menjadi Timbalan Perdana
Menteri.
Abdullah hanya menunggu masa
untuk mengambil alih dan membuat apa yang sepatutnya beliau lakukan sebagai
Perdana Menteri. Abdulah berfikir, beliau tidak perlu membayar walaupun sepuluh
sen untuk mendapatkan kerusi Perdana Menteri itu. Yang perlu beliau lakukan
hanyalah mengiyakan sahaja apa kemahuan Dr Mahathir sahaja. Abdullah tahu
Mahathir walaupun nampak berjiwa besar tetapi pada hakikatnya beliau mempunyai
jiwa yang kenit sahaja.
Mahathir perlukan orang
dikelilingnya hanya penghiburnya sahaja. Beliau tidak boleh disanggah walau
sedikit pun. Itu sebabnya Dr Mahathir bergaduh dengan semua pihak. Beliau
bergaduh dengan kesatuan sekerja, beliau berperang mulut dengan Bar Council,
beliau bergaduh dengan Hakim-Hakim dan kemuncaknya beliau bergaduh dengan
Raja-Raja Melayu. Diperingkat antarabangsa beliau bergaduh dengan Australia, dengan Amerika Syarikat, dengan Britain dan
dengan semua negara yang lain. Yang kita belum mendengar Dr Mahathir bergaduh
ialah dengan anak isterinya dan semua Doktor.
Masalah beliau dengan Abdullah
bermula semasa Abdullah menjadi Perdana Menteri. Mahathir merasakan yang
Abdullah tidak mengenang budi. Bagi Mahathir semua orang mesti mengenang
budinya.
Hanya beliau sahaja yang berkelayakan untuk tidak mengenang budi
rakan-rakannya yang menaikkan beliau dalam politik. Abdullah tidak mengindahkan
apa keputusan yang dibuat semasa kabinet Dr Mahathir dan diantaranya ialah
membatalkan projek jambatan bengkok ke Singapura.
Kalau hendak tahu kenapa Dr
Mahathir bergaduh dengan Abdullah, elok kita baca sendiri apa yang dikatakan
oleh Abdullah dalam wawancara ‘editor’ The awakening itu. Apa yang diperkatakan
oleh Abdullah tertulis dalam buku tersebut. Tidak payah blog ini melanjutkan
kata-kata Abdullah itu.
Tetapi sebagai penutup, saya
hanya hendak menyebut satu perkara. Mahathir jangan disanggah. Kalau disanggah
terima sahajalah nasib anda pada masa yang akan datang. Penyakit itu juga
merebak dalam parti-pati pembangkang.
Dalam DAP misalnya jangan
sekali-kali menyanggah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta seorang dua kroni
mereka dalam parti itu. Kalau hendak menyanggah juga terimalah nasib anda
dimasa depan.