Thursday, April 11, 2013

Tun Dr Mahathir Jadilah Pendamai



TUN DR MAHATHIR TIDAKKAH BOLEH JADI PENDAMAI SEPERTI JIMMY CARTER



JIMMY CARTER  selepas tempoh kepresidenan  diakui sebagai seorang pendamai yang diterima oleh pihak  kawan dan lawan di seluruh dunia. Beliau terkenal dengan sikap tidak berpihak  dan dialu-alukan  oleh semua.
Mengapa ? Kerana peranannya yang adil , telus dan  terbuka. Disenangi oleh  pihak-pihak yang bertelingkah. Jimmy Cater berjaya mengangkat dirinya  menjadi  pendamai dan pengadil  yang dihormati di peringkat global.
Itulah sumbangan terbesarnya memberi imej baik untuk  AS yang terkenal ganas sebagai polis dunia. Sisi buruk diimbangi dengan  sisi baik sebagai pendamai dunia yang bergolak yang juga dicetuskan oleh Amerika. Carter berjaya ,presiden AS yang disinonimkan dengan misi damai sedunia.
Berjaya menangani masalah   di negara-negara yang  bergolak seperti Somalia, Palestin , Nepal dan Indonesia. Mengapa ? Ia membawa mesej demokrasi iaitu keadilan untuk semua menerusi  pemilihan yang bebas dan piawai.
Sesungguhnya Mamanda Mahathir juga boleh meningkat ke darjat begitu.Tidak terlalu terkurung di bumi Malaysia untuk campur tangan secara aktif dan sengit dalam politik kepartian dan siasah  dalaman  negara dan parti tertentu secara serius.  Sepatutnya itu telah lama ditinggalkan oleh negarawan terhormat  seperti Tun Mahathir.
Beliau telah pun menggenggam kuasa  selama 5 penggal, selama 22 tahun menjadi orang NO 1. Apa yang diingini lagi dan rasa tidak puas hati  setelah menjadi  PM yang paling lama berkuasa ini. 

Apabila Tunku Abdul Rahman campur tangan dalam isu UMNO Baru kerana sayangkan  UMNO lama yang jadi mangsa , beliau dituduh nyanyuk dan gila kuasa.Tunku pun masih boleh menerimanya dengan tenang dan akur dengan perubahan yang melampaui zamannya.
Tergamak kebiadaban  yang sebegitu dijatuhkan kepada bapa kemerdekaan kita yang masih waras dan berfirasat  mendalam tentang apa akan jadi pada masa depan negara. Falsafah politik Tunku kuasa tidak boleh diguna untuk membuat kekayaan. Lihatlah apa terjadi kini.

Politik dengan kekayaan jadi seiring .Mana pergi perjuangan asal  untuk agama , bangsa dan negara.Ia hanya retorika dan alat semata-mata untuk menunjukkan kononnya perjuangan yang asal masih dipelihara.
Dr Mahathir telah memegang jawatan secara langsung dengan kejap dan mutlak  untuk mencorakkan negara Malaysia semahunya. Ada yang kamil dan cemerlang  dan ada yang sebaliknya. Dalam tempoh tersebut 3 TPM berhenti, letak jawatan dan dipecat. Rekodnya tidakkah baik 100 peratus atau buruk 100 peratus. Boleh diterima seimbang dan baik.
Pun begitu Tun Mahathir sangat istimewa dan terbilang. Mengapa ? Ia dapat menangani masalah dan konflik  yang besar dengan bersendirian meski pun menghadapi serangan  daripada banyak penjuru, dari dalam parti dan luar parti .Lebih dahsyat dari  luar negara. Ia beres buat Dr M ! Beliau keluar daripada masalah dengan kemenangan gemilang.
Kini Tun Mahathir boleh menilai implikasi dasar-dasarnya dan kesan jangka panjang polisi penswastaan ke atas Malaysia  berdasarkan  muhasabah dirinya dan daripada kaca mata orang lain termasuk pengkritik beliau seperrti tokoh ekonomi seperti Prof Jomo dan Prof Ungku Aziz.
Sepatutnya bila orang lain jadi PM beliau tidak boleh campur tangan apa lagi mengkritik kerana beliau telah berhenti daripada politik.Beliau  harus menghormati dasar-dasar pengganti beliau. Kelibat dan bayang-bayang pun tidak perlu ditayangkan untuk  mengganggu tugas apa lagi campur tangan secara keterlaluan.
Tun mahathir boleh berperanan menjadi pendamai.Orang tua yang menasihati bukannya berkonfrontasi secara keras untuk menolak dan menaikkan orang tertentu. Ia masih  boleh menggunakan platform yang lebih besar  seperti  OIC dan  UN  untuk melihat demokrasi dan keadilan yang standad berlaku di negara-negara umat Islam atau di negara -negara dunia ketiga.
Ia dalam usia kematangan wajar menjadi  tokoh terbilang  mewakili dunia Islam. Tokoh yang memperjuangkan kedilan dunia Islam yang dinjak-injak oleh Barat dan AS yang kini menjadi kuasa tunggal “UNIPOLAR”. Beliau adalah tokoh berwibawa yang berupaya mendobrak kebobrokan AS tentang hak asasi manusia. Tepat beliau  menjadi penasihat ekonomi dunia Islam menerusi berbagai gagasan yang diperjuangkannya.
Contohnya mewujudkan idea dinar Islam diseluruh dunia dengan Malaysia menjadi penggeraknya. Mengasaskan  sistem perbankan Islam yang halal berbeza daripada sistem  riba barat. Menubuhkan  universiti Islam bertaraf dunia dalam semua bidang strategik. Menganjurkan  forum Islam yang terbuka dengan menggunakan OIC.Mengajar cendekiawan Islam cara berfikir strategik sepantas  beliau yang mampu menghadapi kebejatan barat.
Beliau tidak perlu berkonfrontasi dengan Anwar Ibrahim anak didikan beliau. DSAI dibandingkan pemimpin-pemimpin lain telah pun  diktiraf dunia Islam sebagai  pemimpin yang  punyai wibawa dan karima. Rasanya rakyat Malaysia sudah matang untuk memilih pemimpin dan parti terbaik setelah 56 tahun merdeka dan 13 kali menghadapi  PRU.
Demokrasi ialah pilihan terbuka tanpa perlu ditakut-takutkan dengan ugutan bahawa   jangan memilih parti pembangkang kelak akan berlaku huru-hara. Rakyat Malaysia sudah dewasa dan sepatutnya dibiarkan untuk memilih yang terbaik setelah membanding beza berdasarkan rekod baik buruk yang berlaku di sepanjang sejarah pemerintahan.
Rakyat  mengubah parti bukan kerana buruk tetapi kerana telah lama berkuasa. Kuasa mutlak mendorong penyalahgunaan kuasa secara rakus dan leluasa. Itu yang ditakuti berlaku dan telah menjadi realiti di bumi Malaysia dalam tempoh pemerintahan dengan berbagai skandal dan penyelewengan yang keterlaluan.
Dr Mahathir berehatlah dan jadi orang tua yang baik yang dihormati bukannya dibenci. Namun jasanya yang cemerlang yang mengubah landskap negara amat terpuji. Sesungguhnya beliau manusia istimewa yang pelik untuk dianalisis kerana sarat dengan keanihan “kontradiksi” . 

Adakah beliau ini, negarawan, reformis atau atau apa? Politikus sejati sepanjang masa. Darah dagingnya adalah politik kepartian secara totok  tanpa melepasi garis sempadan tersebut !

No comments:

Post a Comment