30 JANUARI – Tidak ramai
antara kita yang masih ingat bahawa Barisan Nasional telah berjaya
menyelamatkan diri dan kembali menguasai medan pilihan raya umum dari
1991 hingga 2005 hasil daripada kompromi Tun Dr Mahathir Mohamad dalam
bentuk Wawasan 2020.
Penggunaan aparat negara serta tindakan tidak demokratik seperti
kuasa menahan tanpa bicara ahli-ahli politik pembangkang, penguasaan
media massa secara langsung dan tidak langsung, dan sistem pilihan raya
yang pincang, telah membolehkan BN kekal berkuasa, mejadi parti yang
dipilih paling lama berkuasa di dunia hari ini.
Formula Perikatan dan bermulanya hegemoni “Melayu dahulu”
Formula Perikatan – pewaris kepada BN – adalah untuk memenangi
separuh daripada semua undi di kalangan pelbagai kaum. Sebagai
satu-satunya gabungan pelbagai kaum di semua peringkat, strategi itu
membuahkan hasil kepada Perikatan dalam pilihan raya umum 1959 dan 1964.
Tetapi amalan Perikatan sebagai “kerajaan kecil yang tidak banyak
berbuat apa-apa” menyebabkan berlakunya ketidakadilan dan perbezaan
ketara sosioekonomi rakyat. Ia menyebabkan pertambahan sokongan kepada
pembangkang daripada pelbagai kaum, termasuk orang Melayu, dalam PRU
1969.
Anggapan yang mengatakan hanya pengundi Cina menyokong pembangkang
pada 1969 adalah tidak benar kerana orang Melayu juga berbuat demikian.
Dr Mahathir kalah di kerusi Kota Setar Selatan serta ramai lagi pemimpin
besar UMNO tewas dalam PRU itu yang membuktikan ada peralihan undi
Melayu menentang Perikatan.
Pasca-1969, formula Tun Razak bercita-cita mencapai sokongan 70
peratus undi Melayu kepada BN. Undi bukan Melayu tidak dianggap penting
dalam formulasi tersebut. Semua dasar di bawah sususan rancangan baru
berkenaan, yang dilambangkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB), digerakkan
ke arah mencapai matlamat tersebut.
Strategi “Melayu dahulu” membawa kejayaan kepada UMNO sehingga PRU
1990 apabila undi Melayu pecah selepas penubuhan Semangat 46 yang
diterajui oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas pemimpin kanan UMNO
yang lain.
Barisan pembangkang yang dipimpin oleh Semangat 46 hampir menang
dalam PRU 1990 tetapi BN berjaya menyelamatkan diri dengan manipulasi
tiga hari terakhir sebelum membuang undi apabila gambar Tengku Razaleigh
yang memakai sigah Kadazan berlambang palang disebarkan oleh media
massa sebagai kononnya perlambangan agama Kristian. Ia cuba memberi
gambaran kepada orang Melayu bahawa pembangkang mahu menjual hak kaum
dan maruah kepada kuasa asing.
Namun undi Melayu kepada BN tidak pernah kembali lagi ke tahap tinggi
pada zaman DEB (1970-1990). Malah, undi Melayu sentiasa berkurangan
dalam setiap PRU sejak 1990, kecuali pada 2004, iaitu PRU pertama
pasca-Mahathir. (Pada PRU 2004, Perdana Menteri Abdullah Badawi menang
kerana janji-janji reformasi kerajaan.)
BN menang PRU 1995 dengan undi popular 65 peratus walau pun berlaku
penurunan undi Melayu dan terus mengekalkan kemenangan dalam PRU 1999,
walau pun lebih separuh pengundi Melayu menolak BN, satu reaksi terhadap
pemecatan dan pemenjaraan Anwar Ibrahim.
Bagaimana Dr Mahathir dan Barisan Nasional terus berjaya menyelamatkan diri sejak PRU 1990?
Wawasan 2020 dan “Bangsa Malaysia”
Dalam masa empat bulan sahaja selepas PRU 1990, Dr Mahathir
mengumumkan Wawasan 2020 dan konsep “Bangsa Malaysia” pada Februari 1991
dan menetapkan hala tuju BN untuk 14 tahun seterusnya sehingga Julai
2005.
Strateginya adalah untuk menampung hakisan pengundi Melayu kepada
UMNO dengan membawa sokongan kelas menengah Cina. Ia dilaksanakan dengan
mengetepikan seketika isu hak Melayu untuk meredakan tekanan perkauman.
Kaum Cina menolak UMNO sepanjang 1970-1990 kerana tidak diberi peluang
ekonomi dan hak budaya.
Pada awal tahun 1990-an, ekonomi mula berkembang dan taraf hidup
meningkat. Kekangan terhadap keinginan budaya dan sosioekonomi kaum Cina
tidak lagi disekat, sebaliknya digalakkan walau pun ada harga yang
perlu dibayar.
Sebagai contoh, peluang pendidikan tinggi kepada kaum Cina
berpendapatan rendah dan sederhana amat berkurangan pada 1970-an dan
1980-an. Tetapi pada 1990-an, asalkan seseorang itu sanggup dan mampu
membayar untuk pendidikan swasta, beratus-ratus kolej mengejar pelajar.
Satu lagi contoh adalah siaran televisyen dalam bahasa Cina. Pada
1970-an dan 1980-an, tidak lebih dari dua jam sehari diperuntukkan untuk
rancangan bahasa Cina di kaca TV. Pada 1990-an, jika anda mampu
melanggan perkhidmatan TV satelit, pelbagai program bahasa Cina
disediakan untuk kelas menengah Cina yang selama ini bising dengan
tuntutan hak.
Jika anda bukan dari kalangan kelas menengah yang sedang berkembang,
atau tidak mampu membiayai pendidikan swasta anak-anak, atau melanggan
TV satelit, jangan salahkan kerajaan. Ia adalah masalah anda – sama ada
anda tidak bernasib baik atau anda tidak gigih bekerja. Itu andaian BN.
Lagi pun, pakar-pakar strategi BN sedar bahawa segmen pengundi miskin
Melayu dan Cina akan tetap mengundi masing-masing PAS dan DAP.
Musuh bayangan dan pemerintahan singkat Abdullah Badawi
Sepanjang 1970-an dan 1980-an, setiap bulan ada sahaja isu perkauman
yang dimainkan oleh media massa. Tetapi pada 1990-an, apabila Dr
Mahathir memerlukan “musuh” untuk dihentam bagi memastikan popularitinya
kekal di kalangan orang Melayu, beliau sentiasa ada pilihan di antara
“penjajah” British, “penindas” Amerika, “komplot” Yahudi atau Asutralia
yang “sombong” dan “tidak beradab”.
Dan, jika Dr Mahathir memerlukan “musuh” yang kelihatannya seperti
orang Cina, maka Cina “tumpang” di selatan Tambak Johor sentiasa ada
untuk dimangsakannya. Imej demonstrasi Pemuda UMNO membantah Singapura
di Johor Bahru dengan jelas mencerminkan keadaan politik pada masa itu –
UMNO tidak perlu mengubah kaedahnya, cukup dengan melihat sahaja
“musuh” di luar.
Pada 2004, Abdullah Badawi mewarisi rangka kerja Dr Mahathir dengan
mesej yang bersifat lebih “Malaysia” atau wasatiyyah (sederhana). Dalam
perutusan Hari Kebangsaannya pada Ogos 2004, Abdullah berkata, “Kita
semua adalah sama, kita semua rakyat Malaysia. Tidak ada individu di
negara ini yang diiktiraf ’lebih Malaysia’ dari individu lain.”
Tetapi sesuatu telah berlaku pada 2005. Rancangan besar BN berakhir
secara mengejut pada minggu terakhir Julai 2005. Ini akan saya
bincangkan minggu depan. – Roketkini.com
Penulis adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP